Ibu Terkejut Pemergiannya Kerana Tidak Perna Dimaklumkan Keadaan Kesihatan Sehingga Dihubungi Pihak Hospital Bahawa Anaknya Sudah T3nat


Ibu Terkejut Pemergiannya Kerana Tidak Perna Dimaklumkan Keadaan Kesihatan Sehingga Dihubungi Pihak Hospital Bahawa Anaknya Sudah T3nat

Tumpat: “Pemergiannya memang mengejutkan kerana kami tidak pernah dimaklumkan keadaan kesihatannya sehingga dihubungi pihak hospital bahawa anak saya sudah tenat,” kata Saudah Ismail, dari Kampung Alor Durian di sini.

Saudah, 74, berkata, anaknya, Rahimah Muhamad, 31, disahkan menghidap tuberkulosis usus (tibi usus) minggu lalu iaitu sehari selepas dimasukkan ke wad di Hospital Bintulu, Sarawak.

Menurutnya, selepas seminggu dirawat, arwah yang sudah enam tahun mengajar di Sekolah Kebangsaan Long Gang, Belaga, Sarawak terus ‘ditidurkan’ dua hari lalu berikutan semakin kritikal sehingga berakhir nafasnya pada 1.30 tengah hari semalam.

Saudah ketika ditemui di rumahnya di sini, berkata walaupun pilu dan ralat tidak dapat menatap wajah anak bongsu daripada enam beradik itu, dia tetap reda dengan takdir.

“Kali terakhir kami berjumpa adalah empat bulan lalu ketika arwah pulang cuti sekolah akhir tahun dan kembali semula ke Belaga pada awal Februari.

“Saya perasan dia ada batuk-batuk tapi tidak mengesyaki apa-apa malah setiap kali berhubung menerusi telefon, dia tetap memberitahu keadaannya baik.

“Sehinggalah minggu lalu saya dimaklumkan oleh anak yang lain bahawa Rahimah dimasukkan ke hospital kerana menghidap tibi usus dan keadaannya tenat,” katanya.

Saudah berkata, selepas menerima berita itu, dia dan suami, Muhamad Jusoh, 74 tidak berhenti berdoa dan melakukan solat hajat dengan harapan akan berlaku keajaiban namun takdir Allah sudah tertulis.

Jenazah Rahimah yang bertolak dari Miri tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2 petang tadi dan dijangka tiba di kampung menjelang malam nanti sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alor Pasir pagi esok.

Sementara itu, kakak Rahimah, Anisah Muhamad, 44, berkata setiap tahun adiknya mengisi borang pertukaran mengajar dengan harapan dapat kembali ke tanah air tapi tetap masih tiada rezeki.

Dia berkata, tiada perubahan ditunjukkan adiknya yang mesra disapa Su Mah kecuali tidak pernah menunjukkan keadaan diri beberapa bulan kebelakangan ini walaupun berhubung menerusi panggilan video.

“Pada Aidilfitri lalu juga kami lima beradik masing-masing menghantar gambar di pagi raya kecuali arwah dan apabila kami meminta gambarnya, dia memberi alasan enggan sebaliknya hanya memuat naik gambar menu hari raya sahaja.

“Rupa-rupanya arwah mungkin ingin menyembunyikan keadaan fizikalnya yang ketika itu semakin kurus dan amat mengejutkan apabila melihat gambar yang dikirim rakannya memperlihatkan keadaan arwah yang sangat kurus disebabkan penyakit dideritainya.

“Kami pasrah Su Mah pergi dalam usia yang muda sebegini dan menurut seorang rakan yang menguruskan jenazahnya, keadaan arwah sangat elok dengan wajah yang tersenyum,” katanya.

Sumber:hmetro