Seorang Guru Matematik Mendenda Anak Muridnya Sehingga Ma'ut Hanya Kerana Gagal Menyelesaikan Dua Soalan Matematik


Seorang guru tidak salah untuk mendenda murid-muridnya di sekolah kerana melakukan kesalahan tetapi tidak perlu terlalu melampau sehingga boleh membawa maut.

Oriental Daily melaporkan seorang guru sekolah rendah dari Sichuan di China telah bertindak mendenda muridnya secara melampau kerana kesilapannya menjawab 2 soalan matematik sehingga membawa tragedi yang membawa maut.


Sebelum kejadian menyayat hati itu, mangsa yang dikenali sebagai Ning Ning, 10 tahun sempat membeli bunga untuk dihadiahkan kepada gurunya itu yang bernama Wang ketika sambutan Hari Guru di China pada 10 September.

Namun, ketika berada dalam kelas matematik Ning Ning telah membuat dua kesalahan semasa sedang menyelesaikan soalan matematik. Akibatnya Guru Wang telah bertindak menyuruh Ning Ning berdiri di atas podium, menarik telinga, memukul dan menampar dengan kuat kepala juga tangannya.

Menurut saudara kembar Ning Ning, Qian Qian yang turut berada dalam kelas yang sama, adiknya tidak mampu mengangkat kepala selepas didenda oleh gurunya.


Pada jam 11 pagi, guru itu telah menelefon nenek Ning Ning, Yang Yuqing untuk menjemputnya pulang ke rumah supaya boleh berehat. 

Yang Yuqing berkata, semasa dia mengambil Ning Ning, cucunya itu tidak mampu bercakap dan membuka kedua belah matanya.

Ning Ning telah dibawa ke hospital selepas didapati tidak sedarkan diri. Malangnya setibanya di hospital, nyawa kanak-kanak itu telah gagal diselamatkan.


Menurut Yang Yuqing, sebelum ini Ning Ning pernah mengadu takut untuk memasuki kelas matematik kerana sikap gurunya yang kasar dan suka memukul serta mendenda para pelajarnya jika melakukan kesalahan menjawab soalan matematik.

Insiden dilaporkan berlaku di Bandar Gaopo, Daerah Cangxi dan pengetua sekolah telah gagal dihubungi untuk mengulas lanjut berkenaan guru terbabit.

Related Posts