TERKINI, ‘Hafal Al-Quran Belum Tentu Sempurna Dan Faham Islam’ – Ridhuan Tee -.
Baru-baru ini tular mengenai seorang wanita menyatakan bahawa dia telah menghafal 15 juzuk al-Quran dan dalam masa sama melakukan perkara yang amat memalukan di khalayak ramai.
Kejadian itu telah menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini kerana dianggap telah menghina agama dan menggugat keharmonian serta perpaduan kaum.
Mengulas isu tersebut, pakar motivasi dan pendakwah, Prof Madya Dr Ridhuan Tee Abdullah menegaskan kebolehan seseorang menghafaz al-Quran belum cukup menjadikan seseorang itu sempurna sebagai umat Islam.
Menghafaz al-Quran dengan beramal dalam Islam adalah dua perkara berbeza manakala mempelajarinya belum cukup sekiranya tiada penghayatan, kata Ridhuan menerusi hantaran di Facebooknya.
Islam itu bukan secara hafalan tetapi amalan dan penghayatan
Ada orang berkata, dia datang daripada sekolah agama, hafal Quran 15 juz, maknanya dia faham Islam, jadi baik. Ada juga yang berpandangan dia hafal 30 juz Quran, dia boleh berbahasa Arab dan memahami bahasa Arab, jadi baik. Ini pandangan yang salah. Islam bukan agama sekadar hafalan, tetapi pengamalan dan penghayatan.
Hafal Quran tidak semesti boleh bercakap bahasa Arab atau memahami bahasa Arab. Sama juga boleh baca Quran, tidak semestinya boleh membaca dan menulis jawi. Boleh membaca dan menulis tulisan jawi tidak semestinya boleh membaca al-Quran dan memahami maksud al-Quran.
Semua perkara ini perlu kepada pembelajaran, kefahaman dan penghayatan.
Belajar sahaja tidak cukup, jika tidak ada penghayatan
Islam bukan sekadar hafalan tetapi amalan atau penghayatan.
Begitu juga memahami dan boleh berbahasa Arab, pun belum ada jaminan untuk memahami dan beramal dengan Islam.
Jika begitulah keadaannya, sudah tentu, negara-negara Arablah yang menjadi pelopor Islam kerana mereka ‘sangat’ memahami Islam. Contoh terbaik dunia sebab Islam turun di situ, bahasa Arab adalah bahasa al-Quran. Tetapi tidak juga berlaku sebegitu.
Orang Arab negara Arab faham Arab, faham Quran sebab Quran dalam bahasa Arab. Malangnya, semua negara tidak juga maju, malah berbunuhan sesama sendiri. Isunya soal penghayatan, meskipun hebat berbahasa Arab atau hafal Quran.
Dalam Islam, paling penting penting adalah akidah, akhlak, disertai dengan kefahaman tauhid Rubbubiyyah (kenal faham kebesaran Allah) dan tauhid Uluhiyyah (pengabdian kepada Allah).
Belum ada jaminan yang hafal Quran masuk syurga, jika tidak disertai dengan iman takwa dan Islam.
Dilaporkan, wanita yang membuat persembahan di Crackhouse Comedy Club akan didakwa di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur dalam masa terdekat selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menyebabkan rasa tidak harmoni dalam kalangan orang Islam.
Sumber:ROTIKAYA