Alhamdulillah Majlis kahwin, tunang, tahlil, akikah dibenarkan

Semua majlis sosial seperti perkahwinan dan pertunangan boleh dianjurkan bermula Rabu ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata selain itu majlis akikah, doa selamat, tahlil, sambutan ulang tahun perkahwinan dan hari jadi serta majlis perjumpaan semula juga dibenarkan.
Katanya, majlis itu dihadkan masanya untuk tempoh tiga hingga lima jam dengan kapasiti kehadiran tidak lebih 250 orang.
"Kapasiti ini juga tertakluk kepada saiz ruang serta penjarakan sosial. Makanan majlis perlu secara hidang atau bufet disediakan, pramusaji hendaklah menghidangkan makanan berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat khas menteri-menteri berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) seperti merekodkan kehadiran tetamu, penggunaan cecair pembasmi kuman dan pelitup muka mesti dilakukan.
Katanya, penganjur majlis sosial yang mungkin sukar mengawal kehadiran tetamu yang ramai, dinasihat untuk menangguhkan penganjuran majlis berkenaan.

Penganjuran majlis sosial dibenarkan mulai 1 Julai. Gambar hiasan pernikahan beramai-ramai di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah 1, Kuantan pada 2018. - Foto NSTP/Ihsan pembaca